Thursday 28 January 2016

KEMBALI MENEMUI ALLAH: USTAZ HJ MOHD SYUKRI B JUSOH

 
 


1) Doa:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، وَعَافِهِ، وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدْ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَما نَقَّيْتَ الثَّوْبُ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَاراً خَيْراً مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْراً مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجاً خَيْراً مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ
"Ya Allah! Ampunilah dia (mayat) berilah rahmat kepadanya, selamatkanlah dia (dari beberapa hal yang tidak disukai), maafkanlah dia dan tempatkanlah di tempat yang mulia (Surga), luaskan kuburannya, mandikan dia dengan air salju dan air es. Bersihkan dia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih dari kotoran, berilah rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), berilah keluarga (atau istri di Surga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia), istri (atau suami) yang lebih baik daripada istrinya (atau suaminya), dan masukkan dia ke Surga, jagalah dia dari siksa kubur dan Neraka." (HR. Muslim 2/663.)

2)Renungan daripada ayat al-Quran:
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya), [QS. AL AHZAB 33:23]

3)Ucapan Takziah daripada JK PENDIDIKAN PUSAT PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

Ustaz Mohd Shukry bin Jusoh: Seorang Murabbi, Daei, Pemimpin Dan Pejuang
Firman Allah swt: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Surah Al-Baqarah:156).

 Almarhum Ustaz Mohd Shukry bin Jusoh meninggal dunia jam 3.20 pagi tadi ketika dalam tidur; setelah beberapa tahun menanggung penyakit kencing manis, buah pinggang, paru-paru dan jantung.  Almarhum kelahiran 10 September 1963 dan berkelulusan Ijazah BA Hons Al-Quran dan Sunnah. 
Beliau meninggalkan isteri, Ustazah Khadijah Abdullah dan 15 orang anak (7 lelaki 8  perempuan) dan 11 orang cucu.

Beliau telah mengasaskan Sekolah Rendah Agama Al-Irsyad Kuantan pada tahun 1988 dan  merupakan Mudir sekolah tersebut semenjak dari awal penubuhannya sehinggalah tahun 2000.
Semenjak tahun 2000, beliau memegang jawatan CEO Al-Irsyad Kuantan sehingga sekarang.

Alhamdulillah, berkat kepimpinan beliau, Al-Irsyad Kuantan telah mendapat sokongan dan dokongan padu ramai pihak dan telah mampu berkembang dengan amat memberangsangkan sekali – SRI dan SMI Al-Irsyad serta Sekolah Tahfiz Al-Irsyad di Kg Kurnia, Kuantan. Sebuah cawangan SRI Al-Irsyad di Tanjung Lumpur Kuantan telah ditubuhkan 3 tahun lepas.

Kini Al-Irsyad Kuantan sudah masuk ke tahun 27 penubuhannya dengan bilangan murid seramai 1420 orang dan 100 orang pendidik dan staf. 
Beliau juga bersama-sama dengan IKRAM Pahang,  telah menubuhkan SRI Al-Amin Paya Besar Kuantan 3 tahun lalu. Kini, SRI Al-Amin Paya Besar baru sahaja berpindah tempat ke premis baru. Tanah tersebut adalah amal jariah beliau kepada SRI Al-Amin Paya Besar.

Alhamdulillah, walaupun keadaan kesihatan beliau agak tenat, dengan bantuan ahli keluarga dan sahabat-sahabat, beliau telah bergerak cergas sehingga ke saat-saat akhir hayat beliau, menghadiri program-program dan melaksanakan amanah sebagai seorang murabbi, daei, pemimpin dan pejuang – khususnya dalam medan pendidikan. Sumbangan beliau kepada pendidikan Islam amatlah dihargai.

“Ya Allah! Engkau ampunilah almarhum Ustaz Mohd Shukry bin Jusoh,  kurniakanlah rahmat kepadanya, selamatkanlah dia, maafkanlah dia dan tempatkannya di Jannatul Firdaus, luaskanlah kuburannya, mandikan dia dengan air salju dan air ais. Bersihkan dia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih dari kotoran, kurniakanlah kepadanya rumah yang lebih baik dari rumahnya di dunia yang fana ini, kurniakanlah kepadanya keluarga yang lebih baik daripada keluarganya di dunia ini, isteri yang lebih baik daripada isterinya di dunia ini, dan masukkan dia ke Jannatul Firdaus, jauhkanlah dia dari siksa kubur dan nar jahannam.” - amiin ya Rabb.

Prof Dr. Omar bin Yaakob
Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan Ikram Malaysia

No comments:

Post a Comment