Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
1 Disember 2014 bersamaan 8 Safar 1436H
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
1 Disember 2014 bersamaan 8 Safar 1436H
Falsafah Pendidikan Islam Tidak Bercanggah Dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Malah Memperkasakannya
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti pandangan yang dilontarkan oleh Wakil Wanita Umno, Senator Datin Rahimah Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan sekolah-sekolah persendirian, sekolah-sekolah pondok dan sekolah-sekolah agama dikaji semula kerana kononnya “…dikhuatiri melahirkan golongan pelampau dan perkauman yang bercanggahan dengan Falsafah Pendidikan Negara...”
IKRAM ingin menjelaskan bahawa Falsafah Pendidikan Islam (FPI) yang didokongi oleh penggiat Pendidikan Islam termasuk IKRAM berbunyi seperti berikut: “Pendidikan Islam adalah suatu proses pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah melalui sistem pendidikan yang seimbang, menyeluruh, bersepadu dan berterusan”.
Ia tidak jauh berbeza, jika dibanding dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu: "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Jelas bahawa FPI menyokong dan memperkukuhkan FPK kerana hasrat FPK adalah untuk melahirkan insan yang holistik, diberikan nilai tambah oleh FPI melalui pendekatan Islam berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. FPI, yang berasaskan Islam, menolak sebarang usaha membentuk golongan pelampau dan perkauman.
IKRAM yakin pembangunan insan hendaklah berteraskan aqidah tauhid melalui sistem yang seimbang, menyeluruh, bersepadu dan berterusan. Sistem pendidikan seharusnya melahirkan insan kamil (insan yang seimbang dan harmonis). Insan kamil seharusnya cemerlang secara menyeluruh dari sudut ilmu dan kefahaman, kemahiran dan kemampuan, ketuhanan dan spiritual, akhlak dan adab.
Gejala sosial semakin parah. Umumnya masyarakat sangat bimbang dengan gejala ponteng sekolah, samseng, merokok, penyalahgunaan dadah, buang bayi dan jenayah besar yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar. Dalam menghadapi fenomena ini, rakyat perlu diasuh bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik semata-mata tetapi juga dari aspek jasmani dan spiritual iaitu mendekatkan diri mereka dengan Tuhan.
Kedudukan dan nilai keunggulan FPK, dalam konteks pembinaan sebuah negara yang progresif dan maju, perlulah dilaksanakan secara lebih meluas iaitu merangkumi aspek kemanusiaan, fizikal dan keagamaan dan bukan setakat ia muncul sebagai subjek Moral atau Pendidikan Islam sahaja.
Oleh itu, adalah merupakan suatu kesilapan jika sistem pendidikan yang berteraskan FPI yang dilaksanakan di sekolah-sekolah persendirian, sekolah pondok dan sekolah agama dianggap bercanggah dengan FPK.
Akses dan ekuiti merupakan anjakan utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
IKRAM berpandangan bahawa akses dan ekuiti harus juga melibatkan sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah swasta yang tidak berorientasikan keuntungan. Ini adalah kerana mereka juga terlibat dalam membantu kerajaan menyediakan modal insan yang seimbang dan harmonis demi pembangunan negara.
IKRAM seterusnya ingin mengesyorkan agar semua sekolah, termasuk sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah swasta yang tidak berorientasikan keuntungan dianggap sebagai sistem pelengkap (complementary) yang perlu digalakkan dan diberikan peruntukan modal per kapita dan bantuan buku teks yang adil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sekolah-sekolah ini juga perlu diberi taraf “pengecualian cukai” di mana ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah ini dibenarkan memohon pengecualian cukai bagi yuran yang mereka bayar untuk pendidikan anak-anak mereka.
IKRAM mengalu-alukan sebarang dialog dengan mana-mana pihak mengenai sistem pendidikan Islam demi kemaslahatan bangsa, negara dan agama.
Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
No comments:
Post a Comment