Friday, 13 March 2015

PEMERGIAN LIZAL ISWADY BIN AHMAD GHAZALI



Perginya Saudara Wady yang Gigih dan Komited dalam Menjalankan Amanah

Lizal Iswady bin Ahmad Ghazali, berumur 37 tahun meninggal dunia jam 12.42 tengahari Khamis 12 Mac 2015, setelah berada di ICU semenjak beberapa hari. Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak berumur 4 tahun dan 3 bulan.

Beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Guru Besar di SRI Al-Amin Bangi dan kemudiannya sebagai Guru Besar di SRI Al-Amin Nilai. Jawatan terakhir beliau adalah Pengurus SRI Al-Amin Nilai dan sebagai Setiausaha kepada Lembaga Pengarah syarikat Pendidikan Ikram-Musleh (Nilai) Sdn Berhad iaitu syarikat yang mengendalikan SRI Al-Amin Nilai.

Beliau telah menunjukkan komitmen kerja yang sangat tinggi, aktif dalam program-program tarbiah, bersegera dalam amal soleh dan amat perihatin dengan kebajikan sahabat-sahabat.

Walaupun beliau berkelulusan peringkat Sarjana (Masters), tetapi komitmen tinggi beliau terhadap dakwah dan tarbiah telah mendorongnya untuk berkorban demi menyambut keperluan mendesak dalam medan pendidikan bagi mendidik generasi rabani.

Moga-moga Allah swt memberkati dan meredhoi amal soleh almarhum dan mengurniakannya jannatul firdaus bersama-sama para anbiya, siddiqun, syuhada dan solihun. Sesungguhnya, merekalah sebaik-baik rafiq (teman). Semoga Allah memberi ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan
– amiin ya Rabb.

Prof. Dr. Omar bin Yaakob
Pengerusi JK Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sumber: https://www.facebook.com/ikram.malaysia



Perkongsian rakan mengenai arwah:

Rehatlah kamu di sana sahabatku...


Saya masih tidak dapat mengalihkan perhatian saya dari mengingati sahabat saya yang baru meninggal dunia semalam. Kereta yang saya pandu menuju ke tempat kerja pagi tadi sepatutnya mengambil exit Nilai, tetapi disebabkan terlalu asyik mengenangkan peristiwa-peristiwa yang kami lalui bersama; saya terlajak ke Seremban.
Saya juga tidak dapat menulis dengan baik untuk menceritakan betapa sedihnya hati melihat sahabat saya ini pergi dengan begitu cepat dan terkilannya saya kerana sudah beberapa lama tidak bertanya khabar dirinya; walaupun arwah tinggal tidaklah begitu jauh dari kediaman saya.
Hanya mereka yang mengenali susuk tubuh bernama Lizal Iswady bin Ahmad Ghazali menyedari betapa mereka kerugian kehilangannya – soft-spoken, gentle, jujur, ikhlas, tidak pernah marah dan kasihkan sahabatnya melebihi diri sendiri.
Dan hanya foto-foto lama menjadi tatapan pengubat rindu, dan kenangan pahit manis bersama yang tidak mungkin berulang kembali. Al Fatihah..

https://izharhadafi.wordpress.com/2015/03/13/

No comments:

Post a Comment