SERI KEMBANGAN - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memperkenalkan polisi alam sekitarnya iaitu ‘Polisi Hijau Dan Rendah Karbon IKRAM’ yang telah diluluskan dalam Sidang Dewan Perwakilan Nasional (DPN) sesi 2014-2018 kali ke-3 pada 20-21 Disember 2014 yang lalu.
Menurut Setiausaha Agung IKRAM, Hj Nahar Nd Nor, status polisi ini adalah sebagai garis panduan dan galakan kepada ahli-ahli, organisasi dan institusi-institusi IKRAM untuk melaksanakannya.
“IKRAM Pusat, IKRAM Negeri dan Daerah, termasuk Wanita serta institusi-institusi termasuk pejabat-pejabat hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya,” katanya.
Tambahnya, satu perkara yang penting dalam perlaksanaan polisi ini adalah ‘ilmu’ iaitu hendaklah melaksanakan polisi ini bersama ilmu.
“Oleh itu, digalakkan diadakan majlis-majlis penerangan tentang polisi ini agar apa yang kita lakukan bukan sahaja nampak mesra kepada alam sekitar tetapi memang sebenarnya mesra kepada alam sekitar,” ujarnya.
Menurut Nahar, polisi ini adalah sebahagian daripada tuntutan Islam yang menuntut agar kita menjaga bumi kurniaan Allah SWT dan tidak merosakkannya.
Katanya, di peringkat pusat, IKRAM akan mula melaksanakannya di peringkat Ibu Pejabat, insyaa-Allah.
Di bawah dilampirkan Polisi Hijau Dan Rendah Karbon IKRAM.
POLISI HIJAU DAN RENDAH KARBON PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
PENDAHULUAN
Firman Allah SWT dalam Surah Al Anbiya’ ayat 107:
“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam”.
Risalah yang dibawa oleh Ar-Rasul SAW merupakan risalah yang membawa rahmah kepada sekalian alam. Syariat ini memberi jaminan kepada perlindungan dan hak kepada semua makhluk untuk hidup dengan sejahtera di muka bumi ini. Manusia perlu sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada alam ini, yang memerlukan mereka menunaikan hak dan tanggungjawab terhadapnya dan bukan hanya menikmati dan mengeksploitasi segala sumber alam yang diamanahkan itu. Manusia juga perlu disedarkan untuk mengambil tanggungjawab dalam mengubah gaya hidup mereka dan melakukan perubahan yang besar bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada alam ini.
Allah SWT menegaskan di dalam surah Al-Qasas, ayat 77:
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan "
Nikmat alam dengan segala sumber semulajadi dan kepelbagaian ekosistem ciptaan Allah SWT untuk kelangsungan hidup manusia dan spesis lain yang terdapat di muka bumi ini sememangnya merupakan sesuatu yang sangat bernilai. Namun demikian, penggunaan sumber alam tanpa kawalan dengan boros dan tamak serta tindakan mengeksploitasi sumber yang ada akan mengakibatkan kehilangan kekal kepada sumber alam ini dan ianya tidak dapat diganti. Tindakan ini akan akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan manusia secara keseluruhan terutamanya kepada generasi akan datang.
Allah SWT mengingatkan kita akan akibatnya dalam Surah Al A’raf, ayat 56:
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
Abad ini juga kita telah menyaksikan berlakunya berbagai kejadian bencana, kerosakan dan kemusnahan terhadap alam sekitar akibat dari perbuatan manusia yang merosakkan alam sekitar melalui gaya hidup yang tidak seimbang dan berlebih-lebihan yang hanya mementingkan keuntungan jangka masa pendek semata-mata tanpa mengambil kira interaksi perbuatan mereka dan impaknya kepada alam sekitar.
Deklarasi unggul Allah SWT kepada tanggungjawab memelihara sumber alam dan persekitaran sedia ada dan kegagalan melaksanakan amanah ini dinyatakan dengan jelas melalui firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan."
Menyedari hakikat ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sebagai sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan perlu memainkan peranan memelihara dan mentadbir alam ciptaan Tuhan ini dengan penuh tanggungjawab. Sebagai sebuah gerakan Islam, IKRAM perlu menunjukkan sifat pro-aktif dan memiliki tahap kepedulian yang tinggi terhadap isu-isu pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar. Selaras dengan itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia, menggariskan Polisi Hijau dan Rendah Karbon IKRAM yang bertujuan meningkatkan kepedulian alam sekitar untuk dijadikan panduan kepada semua ahli IKRAM dalam menjalankan akitiviti dan amalan kehidupan harian mereka sejajar dengan tuntutan syariat.
POLISI IKRAM TERHADAP KEPEDULIAN ALAM SEKITAR
1. Setiap ahli IKRAM sebagai individu hendaklah sedaya mungkin mengamalkan amalan gaya hidup hijau dan rendah karbon dalam kehidupan seharian mereka, selaras dengan tuntutan syarak.
2. Setiap aktiviti yang dijalankan oleh IKRAM atau mana-mana institusi dan agensi di bawah IKRAM hendaklah mengambil kira dan memberi perhatian kepada langkah-langkah penjagaan alam sekitar dari peringkat perancangannya lagi, bermula dengan pengurangan sisa buangan yang dihasilkan (reduce), menggunakan bahan-bahan yang boleh diguna semula (reused) dan mengitar semula buangan yang terhasil (recycle).
Penggunaan senarai semak seperti di Lampiran 1* dapat membantu dalam usaha ini.
3. Mengambil langkah-langkah yang praktikal bagi mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang tidak mesra alam sekitar seperti plastik, polisterin dan lain-lain lagi dalam semua aktiviti anjuran IKRAM dan juga dalam setiap pengoperasian pejabat IKRAM, institusi-institusi milik IKRAM dan agensi-agensi berkaitan dengan IKRAM. Setiap pejabat mengadakan program pengasingan sisa buangan untuk tujuan kitar semula dengan menyediakan tong-tong pengasingan sisa.
4. Menjadikan polisi perolehan barangan yang lebih mesra alam (green purchasing policy) dalam setiap pengoperasian pejabat IKRAM, institusi-institusi milik IKRAM dan agensi-agensi berkaitan dengan IKRAM dengan memberi keutamaan kepada perolehan barangan yang lebih mesra alam.
5. Mengamalkan prinsip penjimatan penggunaan tenaga, air dan sumber-sumber lain di setiap operasi pejabat IKRAM dan institusi IKRAM. Penggunaan mentol dan peralatan letrik yang mengandungi ciri penjimatan tenaga, meletakkan suhu penghawa dingin pada suhu tidak kurang dari 24 darjah Celsius dan mereka bentuk penempatan kakitangan bagi memaksimumkan penggunaan cahaya semulajadi adalah antara amalan yang perlu dilaksanakan.
6. Sentiasa menyebarkan dan menyampaikan mesej penjagaan alam sekitar dan kebersihan kepada para hadirin dalam setiap aktiviti anjuran IKRAM dengan mengingatkan kepada hadirin bahawa memelihara dan menjaga alam sekitar serta komponen-komponen yang ada di dalamnya, merupakan suatu kewajipan yang tergolong sebagai satu ibadah yang dituntut oleh syarak.
7. Menyediakan modul topik penjagaan dan kepedulian terhadap alam sekitar dengan menekankan kepada peranan individu itu sendiri, dalam silibus tarbiah, silibus kurikulum di rangkaian sekolah-sekolah MUSLEH dan juga dalam media milik IKRAM.
PENUTUP
Polisi ini adalah terpakai kepada semua ahli IKRAM, pengoperasian pejabat IKRAM di seluruh negara dan aktiviti/program anjuran atau anjuran bersama atau dengan kerjasama IKRAM dan institusi dan agensi-agensi IKRAM.
Rujukan: http://www.ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=1189:ikram-perkenal-polisi-alam-sekitar&catid=1:berita-pusat&Itemid=9