Monday, 9 February 2015

KAGUM SISTEM PENTAKSIRAN PELAJAR IKRAM-MUSLEH BERASASKAN PENGHAYATAN

.


9 Februari, KUALA SELANGOR - Pihak delegasi Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam yang turut disertai pegawai Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama melahirkan rasa kagum dengan sistem pentaksiran pelajar IKRAM-MUSLEH yang berasaskan penghayatan.

Puan Hajijah Haji Moktal, Pemangku Penolong Pengarah, Bahagian Profesional Jabatan Pengajian Islam berkata, sistem pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah-sekolah IKRAM-MUSLEH lebih menekankan kepada penghayatan agama di samping penilaian terhadap akademik.

“Itulah sebenarnya yang perlu diberi penekanan dalam pendidikan Islam sebenarnya, penghayatan kepada agama itu,” jelasnya semasa melawat Sekolah Menengah Islam Hira’ pada Rabu 4 Februari lalu di sini.

Tambah beliau, pihaknya selama ini hanya menilai dari segi akademik seperti bagaimana solat dan sebagainya tetapi bukan lebih mendalam hingga merangkumi penghayatan dari segi akhlak. Beliau turut mendapati adanya  sesi pementoran dengan mentee dalam sistem pentaksiran yang dilaksanakan oleh IKRAM-MUSLEH di sekolah-sekolahnya.

“Itulah yang masih belum ada dengan kami, jadi pelaksanaan itu yang ingin kami ketahui macam mana pelaksanaannya,” ujarnya.

Menurut Hajijah lagi, sistem pentaksiran IKRAM-MUSLEH yang terperinci seperti dalam aspek ibadah dan akidah contohnya, banyak membentuk faktor dalaman pelajar dalam aspek spritual dan membentuk peribadi pelajar, sesuai dengan objektif untuk melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah rabbani.

Dengan percambahan idea semasa lawatan ini, pihak Jabatan Pengajian Islam dan rakan strategiknya dari Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Brunei akan bersama-sama merancang untuk menggarap sistem tersebut mengikut kesesuaian budaya dan falsafah pendidikan di Brunei.

Semasa melawat SMI Hira’, beliau berpandangan sekolah tersebut adalah antara sekolah tersusun dan bersistem serta mempunyai persamaan dengan sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam.

Beliau turut mengalu-alukan pihak IKRAM-MUSLEH untuk mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah jabatan tersebut di Brunei di samping mengadakan kerjasama untuk mengadakan pelbagai aktiviti ko-kurikulum seperti pertandingan debat dan sebagainya.

Pegawai Pelajaran Kanan Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Brunei, Haji Mohamad Yusuf Haji Tengah yang merupakan ketua delegasi berkata, IKRAM-MUSLEH mempunyai banyak pencapaian dan kejayaan yang diperolehi, bukan sahaja dalam aspek akademik, tetapi juga bukan akademik (ko-kurikulum) termasuk pencapaian di dalam dan luar negeri.

“Pencapaian IKRAM-MUSLEH ini sangat membanggakan, maka dari itu, pihak jabatan ingin melihat lebih dekat lagi bagaimana IKRAM-MUSLEH ini boleh melahirkan sepertimana yang dihasratkan, iaitu insan rabbani,” jelasnya.

Menurut Pengetua SMI Hira’, Bat Kamaruzzaman Abdul Kadir, pihaknya telah berjaya untuk berkongsi dengan delegasi Brunei bagaimana sekolah itu membangunkan pelajar supaya mereka menjadikan sahsiah sebagai satu perkara yang utama dalam kehidupan mereka.
 
Beliau turut berkongsi dengan delegasi tersebut cara pentaksiran dalam aspek ibadah dan juga akidah yang bersifat abstrak dan sukar untuk dinilai ataupun diberikan pemarkahan.

Tambah beliau, SMI Hira’ yang sedang menyambut sambutan 30 tahun penubuhannya, akan turut melaksanakan dua kursus kurikulum baru iaitu Kurikulum Bersepadu Tahfiz dan Kurikulum Baru Dini yang menggunakan Bahasa Arab sepenuhnya untuk pengajaran dan pembelajaran subjek-subjek agama.

Lagi berita lawatan:

No comments:

Post a Comment